Kuala Lumpur, 26 Mei 2025 - Penyertaan kali ke-17 Penerbit UniMAP dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 memberi peluang untuk mengukuhkan jaringan kerjasama dengan penerbit dan pemain industri buku peringkat menerusi program ASEAN Rights Fair (ARF) 2025.

ASEAN Rights Fair (ARF) 2025 merupakan acara tahunan anjuran Perbadanan Kota Buku (PKB) bertujuan untuk mengukuhkan ekosistem hak cipta dan penerbitan di Asia Tenggara. ARF berfungsi sebagai platform utama untuk penerbit, pemilik kandungan dan industri meneroka peluang kerjasama, pemadanan perniagaan, serta pemindahan hak cipta. Sepanjang berlangsungnya ARF 2025 ini, Penerbit UniMAP telah mengadakan sesi padanan perniagaan bersama wakil penerbit, agensi hak cipta serta institusi penerbitan dari negara-negara seperti Kemboja, Turki, Brunei, Filipina dan Vietnam. Antara yang terlibat termasuk Introtema Copyright and Translation Agency, Sipar Cambodia, The Gio Publisher, Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei serta Rex Book Store International, bagi membina jaringan kerjasama dan prospek penerbitan pada masa akan datang.