GARIS PANDUAN EDITORIAL DAN ETIKA PENERBITAN
Penerbit UniMAP komited dalam
menegakkan integriti dan standard kesarjanaan dalam setiap penerbitan buku yang
dihasilkan. Garis Panduan Editorial dan Etika Penerbitan ini adalah
sebagai panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses penerbitan buku
iaitu penulis/pengarang, penyunting, penilai, penerbit dan pihak yang
berkepentingan lain. Ianya bertujuan memastikan setiap karya yang diterbitkan
adalah karya asli, berkualiti dan bebas daripada salah laku penerbitan seperti
plagiarisme dan pemalsuan data serta memastikan ketelusan dalam aspek
pengurusan penerbitan universiti. Selain itu dengan adanya garis panduan ini
adalah untuk mempratikkan amalan ketelusan dan rasa hormat kepada hak cipta
serta harta intelek bagi memelihara kredibiliti hasil penyelidikan dan
penyebaran ilmu oleh ahli akademik.
Sebagai
penerbit universiti diiktiraf di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).
Penerbit UniMAP juga berpegang kepada piawai dan amalan penerbitan yang
ditetapkan Committee on Publication
Ethics (COPE) diperingkat antarabangsa bagi memastikan kualiti penerbitan
setaraf dan diterima meluas oleh komuniti akademia antarabangsa.
Semua
penerbitan yang dihasilkan akan dipertimbangkan dan diperakukan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti (JKP)
yang dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi).
Jawatankuasa ini dianggotai oleh Dekan Fakulti dan Ketua-Ketua Sidang Editorial
Jurnal UniMAP yang mempunyai kepakaran dalam disiplin serta bidang yang
berkaitan dalam memberi nasihat dan menetapkan hala tuju penerbitan Penerbit
UniMAP. JKP juga bertanggungjawab menjalankan semakan serta kelulusan terhadap
penerbitan Penerbit UniMAP dan memberikan nasihat pakar mengenai pemilihan
karya yang akan diterbitkan.
Kenyataan
ini menetapkan tanggungjawab semua pihak yang terlibat dalam penerbitan iaitu:
TANGGUNGJAWAB PENGARANG
Untuk menerbitkan karya dengan Penerbit UniMAP, pengarang mesti memastikan manuskrip yang dihantar memenuhi keperluan tertentu bagi penerbitan ilmiah yang berkualiti.
- Manuskrip yang dihantar adalah asli, belum pernah diterbitkan sebelum ini dan tidak diterbitkan di tempat lain dalam bentuk cetakan atau elektronik.
- Sumber bagi sebarang bahan hak cipta dalam manuskrip yang
dihantar telah diakui, dinyatakan atau dipetik dengan sewajarnya dan kebenaran
yang sesuai untuk menggunakan bahan hak cipta tersebut telah diperoleh.
- Karya tersebut tidak melanggar hak cipta milik pihak
lain.
- Karya tersebut tidak mengandungi bahan yang memfitnah.
- Manuskrip yang dihantar adalah berkaitan dengan kerja yang dijalankan secara beretika dan bertanggungjawab serta mematuhi semua undang-undang yang berkaitan.
- Manuskrip yang dihantar adalah tepat dan boleh dipercayai.
Pengarang juga mesti
memastikan bahawa semua individu yang telah menyumbang secara signifikan dalam
aspek reka bentuk, pelaksanaan atau interpretasi manuskrip yang dihantar
disenaraikan sebagai pengarang bersama. Sekiranya terdapat individu lain yang
terlibat dalam aspek tertentu manuskrip tersebut, mereka harus diakui atau
disenaraikan sebagai penyumbang. Pengarang yang bertanggungjawab perlu
memastikan semua pengarang bersama yang berkaitan telah melihat dan meluluskan
manuskrip yang dihantar dan bersetuju dengan penghantarannya untuk diterbitkan.
TANGGUNGJAWAB EDITOR / PENYUNTING
Untuk menerbitkan karya dengan
Penerbit UniMAP, editor akan memastikan manuskrip yang dihantar memenuhi
keperluan tertentu bagi penerbitan ilmiah yang berkualiti. Editor harus
memastikan:
- Manuskrip yang dihantar adalah asli, belum pernah
diterbitkan sebelum ini dan tidak diterbitkan di tempat lain dalam bentuk
cetakan atau elektronik.
- Mereka telah mendapatkan kebenaran daripada pengarang
yang menyumbang untuk menerbitkan karya mereka sebagai bab dalam koleksi yang
disunting.
- Sumber bagi sebarang bahan berhak cipta dalam manuskrip
yang dihantar telah diakui, dinyatakan atau dipetik dengan sewajarnya dan
kebenaran yang sesuai untuk menggunakan bahan berhak cipta tersebut telah
diperoleh.
- Karya tersebut tidak melanggar hak cipta milik pihak
lain.
- Karya tersebut tidak mengandungi bahan yang memfitnah.
- Manuskrip yang dihantar adalah berkaitan dengan kerja yang dijalankan secara beretika dan bertanggungjawab serta mematuhi semua undang-undang yang berkaitan.
- Manuskrip yang dihantar adalah tepat dan boleh
dipercayai.
Editor perlu memastikan bahawa
semua individu yang telah memberi sumbangan penting dalam penerbitan bahan yang
dihantar disenaraikan sebagai editor bersama atau pengarang bab, mengikut
kesesuaian. Sekiranya terdapat individu lain yang telah menyumbang dalam manuskrip
tersebut, mereka perlu diakui atau disenaraikan sebagai penyumbang. Editor
utama harus memastikan bahawa semua editor bersama dan pengarang bab yang
berkaitan telah melihat dan meluluskan versi akhir manuskrip yang dihantar
serta bersetuju dengan penghantarannya untuk diterbitkan.
TANGGUNGJAWAB PENILAI
Penilai Luar atau Pakar Bidang
merupakan bahagian penting dalam proses penerbitan ilmiah. Mereka membantu
penerbit dalam menentukan penerbitan mana yang memberi nilai kepada wacana
akademik serta memastikan integriti rekod ilmiah. Oleh kerana peranan penting
yang dimainkan oleh penilai, adalah penting mereka menjalankan tugas semakan
secara beretika dan bertanggungjawab. Adalah menjadi tanggungjawab Penilai
untuk:
- Memastikan mereka dapat mengembalikan semakan dalam
tempoh masa yang ditetapkan serta mengisytiharkan sebarang kepentingan yang
mungkin bercanggah.
- Membaca keseluruhan manuskrip dan memberikan maklum balas
terhadap semua bab/artikel.
- Menghormati kerahsiaan proses semakan dan tidak
menggunakan maklumat yang diperoleh semasa proses semakan untuk kepentingan
sendiri atau orang lain, atau untuk menjejaskan atau menjatuhkan pihak lain.
- Kekal tidak berat sebelah terhadap faktor-faktor seperti
kewarganegaraan, kepercayaan agama atau politik, jantina atau ciri-ciri lain
pengarang, asal-usul manuskrip atau pertimbangan komersial.
- Mengisytiharkan sebarang konflik kepentingan sebelum
menerima manuskrip untuk semakan.
- Memaklumkan kepada pihak Penerbit jika mendapati diri
tidak mempunyai kepakaran yang diperlukan untuk menilai aspek-aspek tertentu
dalam manuskrip.
- Segera memberitahu pihak Penerbit jika mengesyaki berlaku sebarang pelanggaran etika penyelidikan atau penerbitan.
- Menyediakan laporan kepada Penerbit UniMAP selepas
semakan yang merangkumi kekuatan dan kelemahan manuskrip; memberikan nasihat
berkaitan pindaan, penyuntingan, penambahan atau pengurangan yang dirasakan
perlu untuk memperbaiki manuskrip; serta memberi cadangan kepada Penerbit
UniMAP sama ada untuk menerima, menyemak semula atau menolak manuskrip
tersebut.
Editor perlu memastikan bahawa
semua individu yang telah memberi sumbangan penting dalam penerbitan bahan yang
dihantar disenaraikan sebagai editor bersama atau pengarang bab, mengikut
kesesuaian. Sekiranya terdapat individu lain yang telah menyumbang dalam manuskrip
tersebut, mereka perlu diakui atau disenaraikan sebagai penyumbang. Editor
utama harus memastikan bahawa semua editor bersama dan pengarang bab yang
berkaitan telah melihat dan meluluskan versi akhir manuskrip yang dihantar
serta bersetuju dengan penghantarannya untuk diterbitkan.
PENILAIAN
Buku-buku terbitan Penerbit
UniMAP akan dinilai oleh pakar dan ahli akademik dalam bidang atau disiplin
yang berkaitan dengan topik penerbitan yang dinilai. Pendekatan dan kaedah
penilaian yang ditetapkan ialah secara Double Blind Review yang terdiri daripada 1-2 penilai yang
dilantik. Proses penilaian ini mengambil masa 3-4 minggu dan dijalankan secara
adil, objektif serta telus. Sekiranya terdapat potensi konflik kepentingan, penilai
dikehendaki menarik diri daripada tugasan tersebut.
PENGENDALIAN KES SALAH LAKU PENERBITAN
Penerbit UniMAP memandang
serius sebarang dakwaan salah laku akademik yang melibatkan manuskrip yang
dihantar untuk diterbitkan. Penilai Luar perlu melaporkan sebarang kes yang
disyaki sebagai salah laku atau plagiarisme dalam manuskrip yang dihantar
kepada editor penerbitan atau kepada Penerbit UniMAP dengan maklumat dan bukti
yang mencukupi supaya siasatan dapat dimulakan.
Sekiranya plagiarisme atau salah laku dikenal pasti, Penerbit UniMAP akan segera menggantung penerbitan manuskrip yang terlibat dan menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut sehingga satu keputusan dicapai.
Sekiranya terdapat sebarang kes plagiarisme atau salah laku akademik dalam mana-mana bahan-bahan penerbitan yang diterbitkan oleh Penerbit UniMAP, Penerbit UniMAP menggalakkan untuk memaklumkan dakwaan tersebut secara bertulis kepada Penerbit UniMAP dengan segera.
Semua dakwaan plagiarisme atau salah laku akademik yang melibatkan bahan penerbitan yang telah diterbitkan akan disiasat oleh Penerbit UniMAP mengikut prosedur yang ditetapkan. Dalam menyiasat sebarang dakwaan plagiarisme atau salah laku akademik yang berkaitan dengan manuskrip yang dihantar atau bahan penerbitan yang diterbitkan, Penerbit UniMAP akan meneliti dakwaan tersebut. Seterusnya merujuk kes tersebut kepada Jawatankuasa Penerbitan Universiti dan Jawatankuasa Tatatertib Universiti untuk mendapatkan nasihat dan keputusan serta menetapkan hukuman yang wajar serta melaksanakan tindakan berikut:
- Pembetulan;~ tindakan
pembetulan (erratum) diambil dengan menerbitkan semula bagi membetulkan
fakta atau data.
- Kenyataan Umum;~tindakan ini akan diambil sekiranya terdapat kebimbingan yang serius mengenai integriti bahan yang diterbitkan atau semasa siasatan masih dijalankan.
- Penarikan balik (Retraction);~tindakan menarik balik bahan terbitan daripada platform atau pasaran.
KONFLIK KEPENTINGAN
Penerbit UniMAP berusaha untuk
menghapuskan sebarang konflik kepentingan sama ada yang dikenal pasti sebelum
atau selepas penerbitan dan mengharapkan editor, pengarang serta penilai turut
peka terhadap isu-isu ini. Konflik seperti ini mungkin timbul daripada
pekerjaan, perundingan, pemilikan saham, pertalian, bayaran honorarium,
keterangan pakar berbayar, perjanjian pembiayaan atau pegangan kewangan, geran,
permohonan/pendaftaran paten yang boleh menimbulkan kebimbangan terhadap
potensi berat sebelah dalam dapatan penyelidikan atau keputusan editorial. Sebarang
potensi konflik kepentingan harus didedahkan seawal mungkin. Sekiranya potensi
konflik dikenal pasti, pihak yang terlibat mesti mengisytiharkan kepentingan
tersebut kepada Penerbit UniMAP dan menarik diri daripada proses berkaitan
sementara siasatan dijalankan oleh Penerbit UniMAP.
PENGGUNAAN AI DALAM PENGHASILAN MANUSKRIP BUKU
Pengarang/Penulis dibenarkan
untuk menggunakan bantuan AI dalam proses penulisan sebelum penghantaran
manuskrip tetapi hanya untuk memperbaiki tatabahasa, penyuntingan dan penulisan
yang dihasilkan. Pengarang dan penulis perlu membuat perakuan penggunaan AI hanya sebagai alat (tool) dalam
kerja-kerja penulisan.
HAK CIPTA
Penerbit UniMAP mengekalkan
hak cipta ke atas semua penerbitan dari segi reka letak grafik buku dan kulit
buku serta jurnal yang diterbitkan oleh Penerbit UniMAP. Sekiranya kandungan
tersebut bukan hasil ciptaan Penerbit UniMAP, perkara ini akan dinyatakan di
halaman hak cipta penerbitan tersebut. Penerbit UniMAP juga mengekalkan hak
cipta bagi semua logo Penerbit UniMAP dan laman web Penerbit UniMAP. Pengarang
mengekalkan hak cipta ke atas karya mereka yang diterbitkan oleh Penerbit
UniMAP kecuali jika dinyatakan atau dipersetujui sebaliknya.
PENGARKIBAN
Semua karya yang diterbitkan
oleh Penerbit UniMAP disediakan kepada pembaca dalam pelbagai format dalam
talian serta dalam bentuk cetakan atas permintaan (print-on-demand)
secara kekal.
PENGURUSAN ADUAN DAN MAKLUM BALAS
Penerbit UniMAP mengambil
serius sebarang aduan atau kebimbangan mengenai penerbitan atau sebarang
aktiviti serta maklumat yang berkaitan dengan Penerbit UniMAP. Semua dakwaan
akan disiasat dalam tempoh yang munasabah dan maklum balas kepada pihak yang
membuat aduan akan diberikan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh aduan
diterima. Penerbit UniMAP akan menilai dakwaan tersebut sebelum merujuk kes itu
kepada Jawatankuasa Penerbitan Universiti untuk mendapatkan nasihat dan
keputusan. Pengarang yang mempunyai persoalan mengenai proses penerbitan atau
semakan penilaian digalakkan untuk membincangkan isu tersebut dengan Penerbit
UniMAP. Sebarang kebimbangan berkaitan status undang-undang penerbitan Penerbit
UniMAP, seperti hak cipta, privasi atau fitnah, hendaklah dikemukakan kepada Penerbit
UniMAP melalui emel This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..