KUALA LUMPUR, 31 Mei 2026 – Penerbit UniMAP telah menyertai program Asian Rights Fair 2026 (ARF) yang berlangsung di Bilik Redang, Tingkat 3, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 29 hingga 31 Mei 2026.

ARF merupakan platform yang menghimpunkan penerbit, ejen hak cipta dan wakil dari pelbagai negara bagi meneroka peluang kerjasama serta urusan jual beli hak penerbitan, hak terjemahan dan pelesenan kandungan. Sepanjang program berlangsung, sesi pagi diisi dengan Forum Hak Penerbitan (Rights Forum) dan pembentangan perdagangan (Trade Presentation), manakala sesi petang dikhususkan kepada Sesi Padanan Perniagaan secara bersemuka (one to one Business Matching Session).

Dalam Sesi Padanan Perniagaan (Business Matching) tersebut, Penerbit UniMAP telah mengadakan beberapa pertemuan bersama wakil industri penerbitan antarabangsa. Pada 29 Mei 2026, Penerbit UniMAP telah bertemu dengan Manish Jain daripada BPB Publications, Ms. Hediye Boz daripada Introtema Literary Agency dan Chander Shekhar daripada Spring Time Software Solutions Pvt. Ltd. Pada 30 Mei 2026, pertemuan telah diadakan bersama Hossein Bahrami daripada Green Palm Publications. Sementara itu, pada hari terakhir program, Penerbit UniMAP mengadakan pertemuan bersama Ms. Alda Trisda daripada KinderLib.

Penyertaan Penerbit UniMAP dalam ARF 2026 mencerminkan komitmen berterusan Penerbit UniMAP untuk memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa, khususnya dalam bidang penerbitan, pendidikan dan perkongsian ilmu. Melalui Sesi Padanan Perniagaan (Business Matching) yang diadakan, Penerbit UniMAP berpeluang meneroka potensi kerjasama strategik termasuk pertukaran hak penerbitan, penterjemahan karya, pembangunan kandungan ilmiah serta pengedaran bahan bacaan ke pasaran yang lebih luas.