Kuala Lumpur, 25 Mei 2025 - Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai PBAKL kembali lagi bagi tahun 2025, menggegarkan pentas dunia perbukuan negara dengan penyertaan pelbagai penerbit, penulis dan pecinta ilmu dari seluruh pelosok tanah air.

PBAKL 2025 berlangsung selama 10 hari, bermula dari 23 Mei hingga 1 Jun 2025 dan menjadi acara tahunan yang dinantikan para pecinta buku sejak 42 tahun penganjurannya bermula pada tahun 1981. Penerbit UniMAP turut menyertai pameran dan jualan dengan membuka reruai di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) bersama-sama dengan 22 lagi Penerbit dari universiti Awam dan Swasta yang lain. Pameran dan jualan berlangsung di Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL). PBAKL 2025 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), dengan kerjasama pelbagai persatuan industri buku seperti Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) dan Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA). Antara acara utama tahun ini ialah ASEAN Rights Fair (ARF) yang menjadi platform pemadanan hak cipta dan kerjasama industri penerbitan serantau.

Â