Shah Alam, 10 Disember 2023 - Penerbit Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menyertai Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 untuk kali ke-3, yang berlangsung dari 1 hingga 10 Disember 2023 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Pesta Buku ini merupakan satu acara unggul yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bersama dengan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) susulan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan selama 16 tahun sejak tahun 2006.

Pameran ini turut dihadiri oleh semua Penerbit Universiti Awam (UA) yang merupakan ahli Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM).

Hari perasmian Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 menjadi begitu istimewa apabila MAPIM menyambut kunjungan daripada DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Keberangkatan baginda turut diiringi oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Datin Paduka Mastura Hj. Muhammad, serta beberapa pegawai-pegawai Kanan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor dan pegawai-pegawai kerajaan yang lain.

Penerbit UniMAP berbangga dapat menyumbang kepada kejayaan dan kemajuan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 melalui penyertaan aktif dalam pameran ini. Kejayaan Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2023 tidak hanya menjadi satu bentuk penghargaan terhadap Penerbit UniMAP, malah turut memperkukuhkan lagi peranannya dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan pembangunan akademik di peringkat kebangsaan.