ALOR SETAR, 31 Januari 2023 - Penerbit UniMAP telah menyertai Bazar Buku Kedah 2023 anjuran Persatuan Penyelidikan dan Pembudayaan Sejarah Negeri Kedah yang diadakan di kompleks pusat membeli-belah Star Parade, Alor Setar, Kedah pada 26-30 Januari 2023.

Pameran selama lima [5] hari yang mengangkat tema ‘Reruai Buku, Bazar Ilmu’ ini turut menarik penyertaan sembilan [9] Penerbit Universiti Awam lain di bawah naungan Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM), iaitu Penerbit USIM, Penerbit UPM, Penerbit UKM, Penerbit IIUM, Penerbit USM, Penerbit UMK, Penerbit UMS, Penerbit UUM dan Penerbit UTM.

Kepelbagaian genre buku terutama dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan, dan sains teknologi menarik ramai pengunjung dan peminat buku dalam kalangan pelajar sekolah, kolej dan universiti awam untuk hadir.

Penyertaan Penerbit UniMAP kali ini adalah bagi meneroka peluang baharu dan memperluaskan rangkaian pemasaran buku universiti kepada komuniti luar, selain warga universiti dan pengajian tinggi.