SERDANG, 23 OGOS – Penerbit UniMAP telah mengharumkan nama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) apabila berjaya merangkul anugerah pada Majlis Anugerah Buku Negara (ABN) 2022 yang berlangsung pada 22-25 Ogos 2022 di Pusat Kebudayaan & kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Buku terbitan Penerbit UniMAP yang bertajuk ‘Konsep dan Praktis: Nilai-nilai Murni dalam Cerminan Kemanusiaan’ telah mengangkat penulis dari UniMAP, iaitu Prof. Madya Dr. Shuhairimi Abdullah dan dua penulis dari UUM, iaitu Prof. Madya Dr. Alias Azhar dan Dr. Mohamad Khairi Othman yang telah dinobatkan sebagai pemenang menerusi kategori Buku Umum Terbaik (Kemanusiaan). Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Profesor Adjung Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkap Pengerusi Alam Flora Sdn. Bhd. Turut hadir ialah Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan En. Zulhillizan Othman, Ketua  Pegawai Penerbitan UniMAP. 

Anugerah Buku Negara merupakan pengiktirafan yang diberikan terhadap karya terbitan dalam pelbagai kategori bagi memberi suntikan semangat dan galakan untuk terus menghasilkan buku yang berkualiti. Diharapkan Anugerah Buku Negara dapat menjadi penanda aras pencapaian penggiat industri buku Malaysia.