BULAT SEGILING, PECAK SETAPIK : Naratif Covid-19 Di UniMAP
Editor: Harshita Aini Haroon, Mohamad Zaki Abdul Halim
Halaman: 345
Buku ini merakamkan situasi
COVID-19 di UniMAP sejak pertengahan Mac 2020 yakni ketika penularan kes
tempatan semakin serius yang menyebabkan kerajaan mengambil pendekatan
melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehinggalah penghujung Ogos
2020. Pendokumentasian ini menggarap seribu satu pengalaman UniMAP sejak bermulanya
PKP Fasa Satu hingga PKP Fasa Empat (18 Mac 2020 hingga 12 Mei 2020) sehingga
menempuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan seterusnya melewati
Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun 2020
hingga 31 Ogos 2020. Tempoh ini amat penting untuk didokumentasikan kerana
seluruh negara berada dalam suasana penghidupanyang amat asing daripada sebelum
kedatangan pandemik COVID-19. Pengalaman yang terhimpun sejak Mac hingga Ogos
2020 diharapkan menjadi garapan yang bermakna kepada semua pihak, terutama
dalam dua aspek. Pertama, episode tersebut telah memperlihatkan kepada warga
universiti tentang kepentingan bersatu hati dan berdaya tahan dalam menghadapi
suasana kehidupan yang tidak menentu; dan kedua, meningkatkan kesediaan dan
keupayaan semua dalam menghadapi bencana dan mengurus krisis dengan lebih baik.
Pengalaman tersebut juga mendidik warga UniMAP untuk lebih matang dan sentiasa
siap siaga terhadap sebarang kemungkinan yang berisiko pada masa hadapan
sementelah pandemik ini masih berleluasa dengan kemunculan varian-varian baharu
yang setakat ini belum ada pengakhirannya. Hakikat yang perlu diterima ialah
hidup perlu diteruskan dalam suasana kebiasaan baharu apatah lagi pandemic COVID-19
ini akan kekal menjadi virus yang berkongsi dunia dengan manusia sebagai
endemik.