Kuala Lumpur, 5 Jun 2024- Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur atau lebih dikenali sebagai PBAKL telah berlangsung selama 10 hari bermula dari 24 Mei sehingga 2 Jun 2024. Ianya menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh para peminat buku dan pembaca tegar sejak 41 tahun penganjurannya bermula pada tahun 1981.


Penerbit UniMAP turut menyertai pameran dan jualan dengan membuka reruai di bawah Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) bersama-sama dengan 21 lagi Penerbit dari Universiti Awam dan Swasta yang lain. Pameran dan jualan berlangsung di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).


PBAKL 2024 dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 30 Mei 2024 jam 3:00 petang. Turut hadir bersama YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Tuan Wong Kah Woh, Timbalan Menteri Pendidikan dan YB Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor. Naib Canselor UniMAP juga turut hadir semasa sesi perasmian dibuat dan turut meluangkan masa mengunjungi reruai MAPIM.