PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2025 (PBAKL 2025) KEMBALI LAGI

Buku Naratif STEM Melalui Lensa Bahasa Melayu mengangkat peranan bahasa
Melayu sebagai medium utama dalam menyampaikan konsep-konsep Sains, Teknologi,
Kejuruteraan dan Metamatik (STEM) melalui pendekatan naratif. Buku ini
membuktikan penggunaan naratif berbahasa Melayu mampu menjadikan ilmu STEM
lebih mudah diakses, difahami dan dihargai oleh pelbagai lapisan masyarakat,
khususnya pelajar pada peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Dengan menumpukan kekuatan bahasa Melayu
dalam membina makna, emosi dan konteks budaya, sinergi antara bahasa dan ilmu
sains dikaji secara kritis. Buku ini juga menyoroti cabaran dan potensi dalam memperkasa naratif
STEM melalui bahasa kebangsaan. Usaha
ini bukan sahaja menyokong pemerkasaan bahasa Melayu dalam bidang ilmu tinggi,
malah menyumbang kepada pembangunan masyarakat celik STEM yang lebih inklusif
dan berpaksikan jati diri kebangsaan. Sesuai untuk pendidik, penulis, pengkaji
bahasa serta pencinta ilmu, buku ini mengajak pembaca menilai semula hubungan
antara bahasa dan sains serta membuktikan bahasa Melayu mampu memperkasa
masyarakat Malaysia dalam mendepani cabaran dunia berasaskan ilmu.
Naratif STEM: Rekayasa Sastera, Bahasa dan Budaya menghimpunkan wacana interdisiplin yang
merentas dunia Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan
sastera, bahasa dan budaya. Buku ini mengetengahkan naratif kreatif dan
analitikal yang bukan sahaja memperkaya apresiasi terhadap teks budaya, malah
membuka ruang baharu untuk pemindahan ilmu secara inovatif dan inklusif.
Melalui perbincangan isu-isu kontemporari seperti digitalisasi bahasa,
teknologi dalam pendidikan sastera dan nilai budaya dalam pembangunan
teknologi, karya ini membina jambatan antara rasionaliti saintifik dan
kehalusan kemanusiaan. Diperuntukkan kepada akademik, pelajar dan pengkaji
pelbagai bidang, buku ini mengajak pembaca meneroka sinergi unik antara
pemikiran analitik dan estetik dalam kerangka ilmu yang segar dan berwawasan.