Temp files

      

    

    

 

3.          PENGURUSAN JURNAL

Bahagian ini menjelaskan bagaimana pengurusan keseluruhan jurnal dilaksanakan dan diuruskan di UniMAP.

 

3.1       PENGURUSAN UMUM

 

            Pengurusan umum menjelaskan bagaimana semua jurnal di UniMAP diuruskan.

 

3.1.1      Struktur Pengurusan.

 

Struktur Jawatankuasa Pengurusan Penerbitan Jurnal UniMAP

 

 

Berdasarkan carta Struktur Jawatankuasa Pengurusan Penerbitan Jurnal UniMAP;

 

·       Semua jurnal yang diterbitkan di UniMAP diuruskan melalui sistem jawatankuasa pengurusan jurnal berpusat.

·       Jawatankuasa ini bernaung di bawah Jawatankuasa Penerbitan UniMAP.

·       Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Penerbitan Jurnal UniMAP dilantik secara automatis menjadi ahli utama Jawatankuasa Penerbitan UniMAP.

·      Pengerusi Jawatankuasa ini akan dilantik selama dua tahun dan dianggotai oleh semua Ketua-ketua Editor setiap jurnal. Dalam keadaan-keadaan tertentu, lantikan boleh dibuat oleh pihak Universiti.

·       Surat perlantikan dibuat oleh Naib Canselor atau wakilnya, Timbalan Naib Canselor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Universiti.

·       Penerbit UniMAP adalah sekretariat kepada jawatankuasa ini.

·       Pengarah/Ketua Penerbit UniMAP atau wakilnya adalah ahli dalam jawatankuasa ini.

·       Jawatankuasa ini mempunyai sub-sub bahagian yang diketuai oleh mana-mana ahli jawatankuasa yang dipersetujui bersama.

·       Sub-sub bahagian yang dicadangkan ialah;

o    Dasar, sistem dan undang-undang

o    Pengawasan kualiti dan penilaian antarabangsa

o    Latihan dan pembangunan

o    Pemasaran dan promosi

o    Bahagian penerbitan khas jurnal

Walau bagaimanapun, jawatankuasa boleh menambah dan mengurangkan bahagian-bahagian pengurusan dalam jawatankuasa ini dengan persetujuan bersama.   

              3.1.2      Rasional Jawatankuasa Pengurusan Penerbitan Jurnal UniMAP

 

·      Penerbitan jurnal ilmiah adalah salah satu tiang utama universiti penyelidikan. Kecekapan pengurusan semua jurnal yang diterbitkan di UniMAP adalah kunci kepada penyediaan  persekitaran ilmu yang sihat dan memudahkan penerbitan hasil-hasil penyelidikan ahli-ahli akademik di peringkat universiti.

·      Kecekapan penerbitan jurnal-jurnal ilmiah di UniMAP juga adalah lambang kepada integriti sesebuah universiti penyelidikan. Integriti ini adalah faktor asas keyakinan yang boleh diperolehi daripada kalangan ilmuan di peringkat dalam dan luar Negara bagi membolehkan UniMAP berada di tengah-tengah gelanggang penyuburan dan pembangunan ilmu di semua peringkat. Sebuah jawatankuasa yang dipertanggungjawabkan bagi melancarkan perjalanan semua jurnal di UniMAP adalah diperlukan.

·    Berdasarkan pengalaman yang dilalui oleh banyak institusi pengajian tinggi mendapati sekiranya sesebuah jurnal yang diterbitkan itu dibiarkan bergerak sendirian, perkara yang boleh berlaku adalah jurnal-jurnal tersebut berkemungkinan melalui fasa-fasa yang boleh menggagalkan perjalanan sesebuah jurnal itu. Sekiranya berlaku, ia boleh menyumbang kepada keadaan yang tidak sihat terhadap pembangunan ilmu di sesebuah universiti;

·     Pengurusan Jurnal ilmiah adalah pengurusan ilmu. Sifat ilmu sangat dinamik. Jawatankuasa ini boleh menjadi gelanggang perkongsian ilmu pengurusan jurnal dalam kalangan ketua-ketua editor atau wakil-wakil mereka yang boleh membantu semua jurnal melalui fasa-fasa perkembangan yang aktif. 

Berdasarkan rasional tersebut, penggunaan jawatankuasa penerbitan jurnal sebagai mekanisma memperkasa penerbitan-penerbitan jurnal di UniMAP adalah sangat perlu.

             3.1.3      Fungsi Jawatankuasa Penerbitan Jurnal 

    ·       Mengurus selia secara kolektif urusan yang bersifat umum jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh Penerbit UniMAP 

             3.1.4    Fungsi dan Objektif Jawatankuasa Pengurusan Penerbitan Jurnal UniMAP 

·       Mengurus selia secara kolektif urusan yang bersifat umum jurnal-jurnal yang diterbitkan oleh penerbit UniMAP.

·       Menjadi pihak yang bertanggungjawab secara ilmu dan pentadbiran untuk menjaga dan meningkatkan mutu jurnal di UniMAP.

·       Menjadi kumpulan pemikir bagi memperkasakan jurnal-jurnal terbitan UniMAP ke peringkat antarabangsa.

·       Bertanggungjawab untuk memastikan semua jurnal UniMAP diterbitkan tepat pada masanya.

·       Membantu jurnal-jurnal UniMAP mengatasi masalah dan mendapatkan idea-idea baru untuk meningkatkan prestasi.

3.2    PENGURUSAN KHUSUS

Pengurusan khusus bermaksud dasar dan sistem pengurusan setiap jurnal yang diterbitkan di bawah Penerbit UniMAP.

3.2.1    Dasar Pengurusan Editorial

Pengurusan jurnal perlu dimantapkan dengan melantik sekumpulan penyunting atau sidang pengarang yang lebih khusus. Berikut adalah struktur pengurusan jurnal di UniMAP. 

·       Setiap jurnal perlu mempunyai ahli-ahli pengurusan berikut dalam pengurusan editorial masing-masing;

 

o   Ketua Editor/Chief Editor/Editor in Chief (dari UniMAP)

o   Timbalan Ketua Editor/ Deputy Chief Editor/ Deputy Editor in Chief (dari UniMAP)

o   Editor Teknikal/Technical Editors (Penerbit UniMAP)

o   Editor Bersekutu/Associate Editor (Dari dalam dan luar UniMAP) Editor/Editors (dua orang atau lebih dalam kalangan staf akademik UniMAP)

o   Panel Perunding Editor/Panel of Editorial Advisors (Pakar bidang jurnal berkenaan yang mewakili Asia Tenggara, Asia, Asia Barat, Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Latin dan Negara-negara lain yang sesuai.)

 

·       Tempoh lantikan bagi setiap jawatan dalam jurnal adalah dua tahun.

·       Perlantikan untuk Ahli Jawatankuasa Penerbitan jurnal dibuat oleh Naib Canselor UniMAP atau wakilnya, Timbalan Naib Canselor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Universiti.

·       Pelantikan ahli-ahli sidang editorial sesebuah jurnal dibuat oleh Timbalan Naib Canselor atau wakilnya, iaitu Dekan atau Pengarah/Ketua Penerbit UniMAP;

·       Semua perlantikan perlu dibuat secara rasmi.

3.2.2    Dasar Bahasa

 

·       Bahasa yang digunakan adalah tertakluk kepada dasar dan peraturan penerbitan jurnal UniMAP.

·       Menggunakan dua bahasa dalam sesebuah jurnal juga dibolehkan selagi ia tidak menghalang prestasi ilmu jurnal berkenaan di peringkat antarabangsa dan selagi tidak mencacatkan pengiktirafan dari mana-mana badan yang memberikannya.

·       Sekiranya artikel ditulis dalam Bahasa Melayu, tajuk, abstrak dan kata kunci untuk artikel tersebut perlu juga disertakan dalam bahasa Inggeris.

·       Sekiranya jurnal dalam bahasa Melayu, maka judul jurnal mestilah dalam bahasa Melayu atau istilah-istilah yang diluluskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

            3.2.3      Format 

Format bermaksud reka bentuk jurnal, warna, ukuran atau saiz, reka letak, fon, pola susunan kandungan dan bahan-bahan lain, sistem rujukan dalam artikel dan sistem bibliografi, persembahan grafik, peta, jadual, gambar rajah, gambar dan lain-lain.

  • Format penulisan, jadual, gambar rajah, graf dan peta perlu mengikut format yang digunapakai oleh Penerbit UniMAP. Bahagian rujukan pula, perlu mengikut format APA untuk bidang sains sosial dan IEEE untuk bidang kejuruteraan seperti yang disyorkan oleh Penerbit UniMAP.
  • Setiap jurnal bebas menentukan dasar yang boleh melonjakkan status jurnal berkenaan dalam kalangan para ahli dalam bidang yang difokuskan oleh sesuatu jurnal itu. 

            3.2.4     Kekerapan Penerbitan 

 

·       Kumpulan editorial sesuatu jurnal boleh menetapkan;

 

o   Kekerapan penerbitan.

o   Bentuk penerbitan adalah wajib untuk atas talian dan cetakan pula adalah berdasarkan permintaan dan dikenakan bayaran.

o   Jumlah artikel. Walau bagaimanapun ia perlu memenuhi jumlah minima yang biasa digunakan oleh jurnal-jurnal lain di peringkat dalam dan luar Negara, iaitu antara 8 ke 15 artikel. 

             3.2.5      Penilai Artikel/Pewasit

 

 

·    Penilai artikel ialah orang yang pakar dalam sesuatu bidang yang dikenal pasti dan dilantik untuk menilai kesesuaian dan mutu sesebuah artikel sebelum sesuatu artikel itu dibenarkan untuk penerbitan.

·       Ciri-ciri Penilai/Pewasit;

 

o   Memiliki kepakaran dalam bidang yang diberi fokus oleh sesebuah artikel.

o   Sekurang-kurangnya berkelulusan doktor falsafah (PhD).

o   Mempunyai kemahiran bahasa yang baik dan sesuai dengan bahasa yang digunakan dalam artikel.

o   Perlu menyerahkan CV kepada Ketua Editor dan Editor teknikal.

 

·    Kumpulan editorial perlu memilih dan melantik pakar ilmuan dalam sesuatu bidang jurnal itu sebagai penilai artikel. Penilai ini boleh terdiri daripada pakar dalam dan luar  UniMAP, dalam dan luar Malaysia.

·       Setiap penilaian hendaklah dilaksanakan secara single blind review.

·       Tempoh penilaian artikel dengan penilai adalah tidak lebih dari sebulan.

·       Setiap pelantikan penilai/pembaca luar perlu diluluskan oleh editorial.

·       Pihak pengurusan penerbitan perlu menyimpan latar diri dan maklumat lain yang sesuai untuk dijadikan rekod bagi tujuan kawalan kualiti di peringkat UniMAP dan antarabangsa (Scopus). 

             3.2.6      Sebarang tindakan yang hendak diambil oleh sidang editorial sesebuah jurnal perlulah dibawa untuk perbincangan dengan Jawatankuasa Penerbitan jurnal UniMAP;

             3.3            JANGKA HAYAT JURNAL

 

 

·       Jawatankuasa Penerbitan Jurnal UniMAP boleh mencadangkan kepada Jawatankuasa Penerbitan UniMAP sekiranya terdapat sesebuah jurnal itu tidak konsisten penerbitannya dan mewujudkan pelbagai masalah, maka dicadangkan untuk diberhentikan.

·       Jurnal yang gagal mendapatkan pengiktirafan Scopus dalam tempoh paling lama lima [5] tahun, maka Jawatankuasa Penerbitan boleh mencadangkan jurnal berkenaan ditamatkan.

·       Pihak pengurusan universiti boleh pada bila-bila masa menghalang penerbitan sesuatu jurnal atau menamatkan penerbitan sekiranya ia gagal memenuhi standard yang dimahukan dari segala segi.

             3.4       HAKCIPTA/ PLAGIARISME   

Tertakluk kepada dasar hak cipta dan plagiarisme UniMAP.

 

3.5       PENERBITAN ISU KHAS JURNAL 

Setiap permohonan mestilah mengisi Borang Permohonan Penerbitan Jurnal Isu Khas. Prosedur ini adalah untuk memudahkan proses mengemukakan cadangan menghasilkan Penerbitan Jurnal Isu Khas kepada Penerbit UniMAP untuk kelulusan sama ada permohonan penerbitan tersebut layak atau tidak diterbitkan. Hanya permohonan yang lengkap sahaja akan dipertimbangkan dan diluluskan untuk penerbitan. Penerbitan Jurnal Isu Khas yang telah dipersetujui bersama akan dikenakan bayaran tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Editorial Penerbit UniMAP.

             3.6       PANDUAN PEMOHONAN PENERBITAN JURNAL BARU

UniMAP bersikap terbuka terhadap usaha menghasilkan jurnal baru atau jurnal usaha sama dengan mana-mana agensi, universiti, pusat-pusat penyelidikan sama ada di peringkat dalam atau luar Negara. Sebarang tindakan yang hendak diambil perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Penerbitan Jurnal UniMAP dan seterusnya Jawatankuasa Penerbitan Universiti.

3.7       CARA PEMOHONAN 

·     Mengisi borang pengwujudan jurnal baru yang terdapat di Penerbit UniMAP.

·  Borang yang lengkap diisi akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Penerbitan Jurnal UniMAP untuk dinilai dan dicadangkan untuk diluluskan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti.

  

             3.8       PROSES PEMOHONAN PENERBITAN JURNAL BARU

Proses pemohononan jurnal baru adalah seperti berikut:

 

  • Borang akan disemak dan sekiranya maklumat lengkap, permohonan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Penerbitan Jurnal UniMAP untuk dinilai.
  • Jawatankuasa Pengurusan Jurnal UniMAP akan mengesyorkan dan mencadangkan penerbitan jurnal ini kepada Jawatankuasa Penerbitan Universiti setelah menilai permohonan.
  • Jawatankuasa Penerbitan Universiti akan meneliti sama ada meluluskan atau menolak pemohonan.
  • Sekiranya pemohonan ditolak, ianya akan dikembalikan kepada pemohon semula untuk penambahbaikan cadangan atau membuat permohonan semula.
  • Sekiranya pemohonan diluluskan, Surat Akuan Terbit akan dikeluarkan.
  • Kertas makluman akan disediakan untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Universiti.
  • Lihat (Lampiran 1. Carta Alir Proses Pemohonan Penerbitan Jurnal baru)Mengisi borang pewujudan jurnal baru yang terdapat di penerbit UniMAP.

                           Borang yang lengkap diisi boleh  dihantar ke alamat berikut:

 

Penerbit UniMAP (Jurnal)

Universiti Malaysia Perlis

No. 98, Aras 1, Blok A, Taman Pertiwi Indah,

Jalan Kangar-Alor Setar, Seriab,

01000 Kangar, Perlis.

(U/P: Pn. Fatin Nadia Abdul Aziz) atau email This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

3.9            PROSES PENERBITAN JURNAL UniMAP 

3.9.1      Proses Penerbitan Penerbit UniMAP

  • Proses penerbitan jurnal UniMAP akan dimulakan dengan setiap Sidang Editorial jurnal baru perlu membina laman sesawang (web). Reka bentuk dan pembangunan laman sesawang perlu dibangunkan oleh Penerbit UniMAP bagi memastikan adanya kawalan kualiti.
  • Penerbit UniMAP juga akan membuat pemohonan untuk mendapatkan no ISSN dan E-ISSN.
  • Pihak Sidang Editorial akan menghantar manukrip atau artikel yang telah disunting dan disahkan oleh Sidang Editorial Jurnal kepada Penerbit UniMAP. Bagi tujuan kawalan mutu, jurnal perlu dihantar dalam tempoh dua [2] bulan sebelum keluaran.
  • Penerbit UniMAP akan membuat semakan artikel yang dihantar untuk memastikan artikel tersebut memenuhi kriteria mengikut format yang ditetapkan.
  • Penerbit UniMAP akan melakukan dua proses suntingan, iaitu Penyuntingan Bahasa dan Penyuntingan Naskhah.
  • Sekiranya artikel atau manuskrip ada pembetulan, ianya akan dikembalikan kepada Sidang Editorial.
  • Sidang Eitorial akan menghantar kembali artikel atau manuksrip bersih kepada Penerbit UniMAP.
  • Penerbit UniMAP akan membuat kerja-kerja menyediakan reka letak halaman (layout).
  • Penerbit UniMAP akan mengeluarkan pruf dan menghantar kepada Sidang Editor untuk semakan. 

3.9.2      Proses Penerbitan Sidang Editorial  

  • Terima artikel daripada pengarang
  • Merekod dan menghantar kepada Editor Bidang bagi menentukan dan menghantar artikel untuk dinilai.
  • Setelah mendapat laporan penilaian, Sidang Editorial perlu bersidang untuk memutus dan membuat pemilihan artikel untuk dimuatkan dalam keluaran (isu) jurnal.
  • Menghantar dan meminta pengarang mengisi Borang Penyerahan Hak Cipta kepada Penerbit UniMAP.
  • Editor membuat penyuntingan.
  • Artikel yang telah disunting bersih akan dihantar kepada Penerbit UniMAP untuk proses reka letak halaman dan diterbitkan.
  • Lihat (Lampiran 2. Carta Alir Proses Penerbitan Jurnal )