Temp files

      

    

    

 

 

1.     PENGENALAN

Garis Panduan ini digubal bagi memberi penjelasan mengenai dasar dan garis panduan dalam menerbitkan Jurnal Isu Khas yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaysia Perlis (Penerbit UniMAP).

 

 

2.     PERMOHONAN PENERBITAN ISU KHAS

 

Setiap permohonan mestilah mengisi Borang Permohonan Penerbitan Jurnal Isu Khas. Prosedur ini adalah untuk memudahkan proses mengemukakan cadangan menghasilkan Penerbitan Jurnal Isu Khas kepada Penerbit UniMAP untuk kelulusan sama ada permohonan penerbitan tersebut layak atau tidak diterbitkan. Hanya permohonan yang lengkap sahaja akan dipertimbangkan dan diluluskan untuk penerbitan.

 

2.1  Penyediaan Kertas Cadangan

 

 

 

Editor Tamu hendaklah menyediakan kertas cadangan sebelum membuat permintaan permohonan Penerbitan Jurnal Isu Khas kepada Penerbit UniMAP. Editor Tamu juga memilih/melantik Sub Editor untuk melaksanakan proses-proses Penerbitan Jurnal Isu Khas tersebut sehingga siap. 

 

2.2.1 Kandungan kertas cadangan mestilah mengandungi maklumat berikut;

 

  i.          Tajuk cadangan

ii.          Penerangan tentang topik yang dicadangkan

iii.          Tarikh penerimaan/penyerahan yang menepati masa

 

iv.          Skop yang meliputi dalam isu khas tersebut

 

 

3.     TERMA DAN SYARAT

 

 

Penerbitan Jurnal Isu Khas yang telah dipersetujui bersama akan dikenakan bayaran tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Editorial Penerbit UniMAP. Setiap keluaran isu khas boleh mengandungi sehingga dua [2] volume dan maksimum 40 artikel. Setiap satu [1] volume mengandungi maksimum 20 artikel atau minimum lapan [8] artikel. Sekiranya jumlah artikel yang diterima untuk penerbitan kurang daripada lapan [8], penerbitan jurnal untuk isu khas tersebut akan dibatalkan. Editor Tamu perlu memastikan artikel-artikel yang diterima adalah daripada kepelbagaian Antarabangsa/Serantau kerana penglibatan pengarang/penulis daripada pelbagai negara dapat meningkatkan audiens dan sumbangan penyelidik bagi masyarakat antarabangsa dan serantau. Nisbah bagi penerimaan artikel adalah 70:30, iaitu 70% dari dalam negara dan 30% dari luar negara.

 

3.1 Kos Penerbitan

Caj penerbitan untuk satu isu khas bagi jurnal yang berstatus Scopus adalah RM 15,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Belas Ribu), manakala bagi jurnal yang bukan berstatus Scopus, caj penerbitan adalah RM 7,500 (Ringgit Malaysia Tujuh Ribu Lima Ratus).

 

3.2  Format/Gaya Penerbitan  

 

Format Penerbitan untuk setiap Penerbitan Jurnal Isu Khas hendaklah mengikut format yang telah ditetapkan oleh Penerbit UniMAP. Sesebuah artikel ditakrifkan sebagai lengkap apabila ia memenuhi syarat untuk diterbitkan dalam jurnal tersebut sebagai isu khas. Bahagian yang penting seperti tajuk, abstrak, kata kunci dan rujukan wajib ada dalam setiap artikel.

 

4.     PELANTIKAN EDITOR TAMU DAN SUB EDITOR

 

4.1  Syarat, Tanggungjawab dan Peranan

 

a). EDITOR TAMU

 

 

            i.       Editor Tamu akan dilantik oleh Penerbit UniMAP untuk memastikan kerja-kerja Penerbitan Jurnal Isu Khas diterbitkan dengan sempurna dan tepat pada masanya.

           ii.     Menubuh dan mengetuai Sidang Editorial untuk melakukan kerja-kerja editorial untuk Penerbitan Jurnal Isu Khas.

          iii.   Melantik dua [2] hingga empat [4] Sub Editor yang akan bertanggungjawab untuk mengendalikan proses-proses Penerbitan Jurnal Isu Khas.

          iv.    Memastikan proses penilaian mempunyai tiga [3] penilai atau sekurang-kurangnya dua [2] penilai yang dibuat secara single blind review. Penilai luar mestilah dari institusi yang berlainan            dan tidak boleh menjadi penulis dalam jurnal isu khas tersebut untuk mengelakkan konflik.

           v.      Melakukan promosi dan menjemput penulis untuk menghantar artikel dalam isu khas jurnal dan disediakan melalui Call for Paper (CFP).  

          vi.    Membuat keputusan mengenai penerimaan atau penolakan artikel.

         vii.  Memastikan artikel penulis mencapai kualiti yang ditetapkan sebelum menerima artikel tersebut.

          b)     SUB EDITOR 

                      i.     Sub Editor akan dilantik oleh Editor Tamu untuk mengendalikan kerja-kerja penyuntingan dan penerbitan isu khas.

 

                                     ii.     Sub Editor perlu diiktiraf kepakarannya dalam skop yang dicadangkan dan harus mempunyai rekod pencapaian penerbitan dalam bidang tersebut.

                                    iii.     Bertanggungjawab memastikan setiap penyerahan artikel tepat pada masanya, iaitu pada peringkat proses suntingan dan penerbitan.

                                     iv.     Menyediakan laporan penilaian setiap artikel yang telah dinilai kepada Penerbit UniMAP.

                                       v.     Bertanggungjawab dalam setiap urusan berkaitan proses editorial seperti penerimaan artikel, penilaian, pembetulan dan berhubung atau bekerjasama rapat dengan pengarang.

                                     vi.     Memastikan semua artikel yang telah lengkap mengikut format jurnal UniMAP yang telah ditetapkan.

                    vii.      Bertanggungjawab membuat penyuntingan substantif dan bahasa.

 

 

5.     PROSES PENERBITAN KELUARAN KHAS JURNAL

 

             5.1       Sidang Editorial perlu menyedia dan menyimpan senarai penyumbang artikel seperti alamat emel, nombor telefon dan alamat penulis untuk memudahkan membuat rujukan terhadap               artikel yang akan diterbitkan.

             5.2       Setiap proses semakan dan pengesahan artikel perlu mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh Sidang Editorial untuk memastikan jurnal yang disediakan lengkap sebelum                         dihantar  kepada Penerbit UniMAP.

             5.3       Semua artikel yang diterima perlu disemak terlebih dahulu sebelum diluluskan oleh Editor Tamu.

             5.4       Sub Editor akan menyemak semua bahan yang dikemukakan dalam artikel tersebut termasuk abstrak, biografi penulis, jadual, persamaan dan lain-lain untuk dimasukkan ke dalam                     artikel masing-masing. Sekiranya maklumat tidak lengkap, Editor Tamu perlu berhubung dengan penulis untuk melengkapkan maklumat yang dikehendaki. Gambar rajah yang                         dibekalkan juga haruslah berkualiti tinggi.

            5.5       Editor Tamu perlu memastikan penulis/penyumbang artikel menandatangani perjanjian penerbitan Borang Pelepasan Hak Cipta (Copyright Release Form) sebelum mengeluarkan Surat               Terima Terbit (Acceptance Letter).

            5.6       Artikel yang telah lengkap disemak oleh Sidang Editorial perlu diserahkan kepada Penerbit UniMAP untuk proses yang seterusnya.

             5.7     Sekiranya terdapat pembetulan yang perlu dibuat, Penerbit UniMAP akan memulangkan artikel tersebut kepada Editor Tamu untuk dibuat pembetulan dan Penerbit UniMAP akan                   memaklumkan no Keluaran Jurnal Isu Khas kepada Editor Tamu.