Temp files

      

    

    

 

Hasil tulisan yang dipersembahkan dalam bentuk buku, jurnal, pasca sidang dan buku teks. Hasil penulisan ini mewakili bahan dalam bentuk ilmu pengetahuan yang terhasil sama ada melalui penyelidikan saintifik, hasil wacana, himpunan pemikiran dan perbincangan ilmiah mengenai apa jua bidang ilmu serta bahan-bahan atau panduan yang boleh membantu, memberi dan mengembangkan ilmu kepada khalayak. 

 

Buku teks adalah panduan mengenai arahan pembelajaran dan pengajaraan sesuatu disiplin pelajaran. Sesuatu buku teks diwujudkan untuk memenuhi keperluan bagi sesuatu bidang pengajian di institusi-institusi pengajian. Walaupun buku-buku teks ini bersifat pembelajaran dan pengajaran, namun nilai akademiknya perlu tinggi dan perlu menepati ruang lingkup pembelajaran, berbeza dengan panduan makmal dan modul pembelajaran. Walaupun buku teks selalunya diterbitkan dalam format teks, pada masa ini buku-buku teks boleh diperolehi dalam bentuk buku elektronik. 

 

 

Konsep umum merujuk kepada pengguna yang ditujukan oleh buku yang diterbitkan di bawah jenis buku ini.   Pengguna jenis buku ini adalah pelbagai dari segala segi. Oleh itu, pelbagai jenis buku diterbitkan bagi memenuhi keperluan khalayak umum ini.  Buku umum ini boleh dalam pelbagai genre penulisan seperti sastera, politik, drama, filem, sejarah dan sebagainya. Buku-buku yang berkaitan dengan panduan-panduan yang berkaitan dengan sesuatu kemahiran juga termasuk dalam bentuk penulisan umum ini seperti buku-buku masakan, buku-buku mengenai panduan penullisan, buku biografi mengenai seseorang dan sebagainya.

  

Konsep umum merujuk kepada pengguna yang ditujukan oleh buku yang diterbitkan di bawah jenis buku ini.   Penerbitan sesuatu karya mengenai seseorang yang ditulis oleh orang yang diceritakan atau ditulis oleh orang lain dengan menggunakan pelbagai cara penulisan. Penulisan bentuk ini menceritakan sejarah kehidupan seseorang, perasaan dan pengalaman orang yang menjadi subjek penulisan.

 

Memoir ialah penulisan yang menceritakan secara dekat pengalaman, perasaan dan ingatan mengenai sesuatu kehidupan atau peristiwa yang dilalui oleh seseorang yang kadang kala menjadi suatu bukti atau penjelasan mengenai sesuatu kejadian yang dilalui. Memoir kerap ditulis oleh ahli-ahli politik dan pemimpin-pemimpin tentera. 

 

Buku mewah adalah sejenis hasil penerbitan khas yang mengandungi gambar-gambar dan teks yang dihasilkan khusus untuk memenuhi sesuatu keadaan.

 

Jurnal merujuk kepada penerbitan artikel-artikel dari pelbagai tajuk mengenai sesuatu bidang pengajian yang berasaskan pemikiran dan penerokaan saintifik. Komponen-komponen yang perlu ada dalam sesebuah jurnal ialah sejumlah artikel yang ditulis oleh para ilmuan berasaskan kajian-kajian saintifik, yang dipilih dan disunting oleh sekumpulan penyunting. Jumlah artikel dan kekerapan penerbitannya adalah bergantung kepada ketentuan yang dicatatkan dalam dasar penerbitan sesuatu jurnal itu. Sementara itu komponen dalam sesuatu artikel jurnal ini ialah judul, abstrak, ulasan pembacaan dan kajian terdahulu, kaedah penyelidikan, hasil penyelidikan dan penghujahan hasil kajian serta penutup. 

 

Monograf adalah suatu hasil kerja penulisan mengenai sesuatu subjek oleh seorang pengarang. Disebabkan karya dalam bentuk monograf ini selalunya berasaskan kepada sesuatu hasil penyelidikan yang selalunya melibatkan lebih seorang pengkaji, maka terdapat juga monograf ditulis oleh lebih seorang pengarang. Corak penulisan boleh dalam bentuk buku atau seperti sebuah artikel saintifik untuk jurnal.  Dari segi definisinya juga ia adalah suatu dokumen tunggal dalam bentuk teks yang lengkap. Dalam banyak keadaan, monograf adalah penghuraian lebih daripada apa yang diperlukan oleh sebuah artikel untuk jurnal dan tidak mempunyai bab. Ia dilengkapkan dengan abstrak, huraian teori dan ulasan kajian-kajian terdahulu, kaedah penyelidikan atau pengumpulan maklumat, hasil kajian, pemaparan penemuan dan penghujahan hasil kajian serta implikasinya terhadap bidang ilmu dan dasar. Disebabkan hasil penulisan ini ada kalanya agak panjang, terdapat juga monograf yang ditulis dalam bentuk bab-bab, tetapi tidak lebih dari tiga (3) bab. 

 

Penerbitan khas adalah usaha penerbitan dalam pelbagai bentuk yang diterbitkan atas kehendak atau keperluan bagi sesuatu masa. Penerbitan khas boleh dalam bentuk laporan tahunan, majalah dan buletin yang dihasilkan untuk memenuhi sesuatu keperluan. 

 

Penerbitan elektronik adalah penerbitan sebarang bentuk bahan yang diterbitkan dan diedarkan secara elektronik. Sistem dan proses pengurusan kualiti penerbitan adalah sama kecuali menggunakan kaedah dalam sistem elektronik. Sistem pembayaran royalti ditetapkan dari semasa ke semasa dan diluluskan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti tertakluk kepada ketetapan dan syarat-syarat yang dikenakan oleh Pengurusan Universiti. 

 

Bab dalam buku ialah bab yang terkandung dalam sesebuah buku, yang mana setiap bab mempunyai penulisnya sendiri yang berbeza pakar dalam bidang masing-masing dan membincangkan satu subjek yang sama. Editor utama bertanggungjawab kemudiannya mohon kumpulan Penulis tadi mengembangkan lagi artikel atau penulisan yang dibincangkan.  Bab dalam buku merupakan sumber yang sesuai bagi mencari bahan kerana ciri-ciri utama bab dalam buku yang memberi tumpuan dan membincangkan kepada satu subjek tunggal atau koleksi hasil kerja dalam genre tertentu yang disusun dengan rapi.