Temp files

      

    

    

 

BAHAGIAN IV: KUASA DAN PROSEDUR PENERBIT UNIMAP 

 

Bab 1: Panduan Proses Penerbitan 

Setiap peringkat proses penerbitan mempunyai tatacara yang perlu diikuti seperti yang dilampirkan. Semua pihak yang terlibat dalam mana-mana penerbitan dalam UniMAP secara langsung atau tidak perlu mematuhi panduan penulisan berikut: 

Panduan Permohonan Penerbitan  

Borang Pemohonan Penerbitan 

Borang Pemohonan Penerbitan Jurnal   

Panduan Umum dan Format Penerbitan Modul Makmal dan Pengajaran 

Borang Pemohonan Penerbitan Modul 

 

Pihak Penerbit UniMAP berhak menolak dan memulangkan semula pembaikan dan menyunting sekiranya tidak memenuhi peraturan yang dinyatakan.

Bab2: Penulis

1.      Definisi

Penulis adalah orang yang menulis dan mengarang sesuatu bentuk penulisan tidak mengira apa genre penulisan. Dalam beberapa keadaan adakalanya istilah penulis itu disama takrifannya sebagai pengarang.

2.      Jenis Penulis/Pengarang (ghost writer/penulis tamu/)

Penulis dibahagikan kepada dua jenis iaitu penulis dalaman dan penulis luaran

Penulis dalaman bermaksud mana-mana individu yang terlibat menghasilkan sebarang bentuk karya yang akan diterbitkan oleh UniMAP. Individu-individu ini adalah menerima gaji daripada universiti dan pada masa yang sama upah penulisan mereka boleh diberikan berdasarkan ketetapan-ketetapan oleh universiti. Mereka boleh terdiri daripada Sidang Editor atau penulis yang dilantik oleh bahagian masing-masing, karyawan tamu/penulis tamu dan semua individu yang menulis dan pada masa yang sama dibayar gaji.

Penulisan luaran bermaksud mana-mana individu yang terlibat menghasilkan karya untuk UniMAP dan tidak menerima upah atau gaji oleh UniMAP. Segala pembayaran yang diberikan dibuat berdasarkan kepada perkhidmatan yang diberikan dan menerima royalti bagi setiap penerbitan yang dihasilkan berdasarkan ketetapan Universiti

Kedua-dua jenis penulis hendaklah patuh kepada piawai mutu penulisan, peraturan penerbitan, dan format penulisan yang ditetapkan oleh UniMAP. Sekiranya tidak mematuhi mana-mana piawaian, peraturan dan format berkaitan, Penerbit UniMAP mempunyai kuasa untuk menolak permohonan penerbitan.

3.      Kelayakan sebagai penulis

Seseorang yang mempunyai kebolehan dan keupayaan untuk menghasilkan sebarang bentuk penulisan yang memenuhi piawaian, peraturan dan format penulisan yang ditetapkan layak menjadi penyumbang penulisan kepada Penerbit UniMAP.

Keutamaan penerbitan difokuskan kepada penerbitan ilmiah premier, penerbitan ilmiah sekunder dan sebarang bentuk buku lain yang boleh memenuhi syarat kebolehpasaran Penerbit UniMAP.

Bab 3: Penterjemah

1.      Definisi

Perterjemah berasal dari kata dasar terjemah yang bermaksud menulis atau menyatakan makna daripada sebarang bentuk penulisan atau tuturan yang diucapkan dalam sesuatu bahasa ke satu bahasa yang lain. Perterjemah adalah orang yang terlibat dalam proses memberikan makna atau menukarkan makna daripada sebarang bentuk penulisan atau tuturan yang diucapkan dalam sesuatu bahasa ke satu bahasa yang lain. Terjemahan adalah proses melakukan sesuatu proses menukarkan makna daripada sebarang bentuk penulisan atau tuturan yang diucapkan dalam sesuatu bahasa ke satu bahasa yang lain dengan menggunakan peraturan dan hukum perterjemahan.

2.      Kelayakan sebagai penterjemah UniMAP

·        Mempunyai kemahiran tinggi dalam kedua-dua bahasa yang terlibat dalam proses terjemahan tersebut dan berjaya membuktikan kemahiran menterjemah.

·        Mempunyai kelayakan yang diiktiraf dalam bidang terjemahan atau setara.

·        Penterjemah boleh terdiri daripada ahli-ahli panel yang dilantik atau mana-mana pihak yang layak.

3.      Kaedah Pemohonan Menerbitan Karya Terjemahan

Kerja terjemahan ditetapkan melalui dua cara:

a)      Ditentukan oleh mana-mana pihak di UniMAP dan diluluskan oleh Jawatankuasa Penerbitan UniMAP atau wakilnya.

b)      Cadangan daripada pihak penulis sendiri.

Seseorang penulis yang berminat untuk menterjemah sesuatu teks dalam sesuatu bahasa itu perlu mengisi Borang Pemohonan Menerbitkan Karya Terjemahan.

Borang Pemohonan Penerbitan Karya Terjemahan 

Panduan Pemohonan Penerbitan Karya Terjemahan 

4.      Penyunting Terjemahan

Setiap karya terjemahan akan disunting oleh penyunting terjemahan dalaman atau luaran yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Syarat-syarat tersebut adalah pakar dalam bidang yang diterjemahkan. Menguasai bahasa sumber dan bahasa penerima dengan baik.

Bab 4: Penyunting/Editor  

Definisi

Orang yang bertanggungjawab terhadap mutu persembahan kandungan sesuatu penerbitan.

Di UniMAP penyunting bertanggungjawab untuk meneliti setiap manuskrip yang diserahkan ke Penerbit UniMAP. Aspek-apsek yang diteliti adalah memastikan setiap maklumat yang tercatat dalam borang pemohonan menepati jenis teks yang diserahkan. Penyunting bertanggungjawab memastikan manuskrip melalui semua proses penilaian sehingga peringkat penerbitan.

Panel Penyunting

Sekumpulan individu yang dilantik oleh sesuatu badan penerbitan atau syarikat untuk menganggotai jawatan penyunting secara berkala. Fungsi dan tanggungjawab individu ini adalah sama seperti mana-mana penyunting tetap yang lain. Ahli panel ini boleh terdiri daripada individu profesional yang mempunyai pengalaman dan memiliki kelulusan dalam bidang dan boleh terdiri daripada mereka yang tidak mempunyai kedua-kedua kelulusan tersebut tetapi telah diberi latihan khas oleh organisasi berkenaan. Individu berkenaan hanya bertugas apabila sesuatu tugas penyuntingan diberikan kepada mereka dan individu ini perlu menyiapkan dalam satu tempoh yang ditetapkan.

Di UniMAP Panel Penyunting dilantik berdasarkan kemahiran bahasa, mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang akademik yang ditawarkan oleh UniMAP, pengalaman dan kemampuan menyempurnakan tugas dalam tempoh yang ditetapkan. Jumlah ahli panel adalah bebas walau bagaimanapun, jumlah yang digunakan pada sesuatu masa bergantung kepada jumlah kerja yang perlu disempurnakan dalam satu tempoh tersebut. Tempoh masa menyempurnakan sesuatu tugasan penyuntingan adalah 3 minggu hingga 2 bulan bergantung jenis manuskrip. Setiap perlantikan akan disertakan dengan borang perakuan penyempurnaan tugas yang perlu diisi oleh panel penilai yang terpilih. Bayaran atau upah bergantung kepada kadar semasa dan dipersetujui oleh UniMAP setelah tugas penyuntingan disiapkan tanpa masalah besar. Sekiranya sesuatu manuskrip itu masih belum sempurna disunting Penerbit UniMAP berhak untuk meminta ahli panel penyunting berkenaan mengemaskinikan kekurangan yang ditemui.

Penyunting Substantif

Orang yang bertanggungjawab untuk mengawal mutu isi kandungan berdasarkan bidang-bidang penulisan bagi sesebuah manuskrip yang bertugas di dalam sesebuah syarikat atau badan penerbitan. Individu ini mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang ilmu yang berkaitan dengan teks yang ditangani. Fungsi penyunting substantif ialah membaca dan meneliti kandungan sesebuah manuskrip dari aspek-aspek kesesuaian kandungan dan kekuatan hujah yang dimasukkan termasuk aspek-apsek penyelidikan dan pengolahan data, kesesuaian bahasa, ayat dan istilah untuk mempersembahkan kandungan sesebuah teks, mengenalpasti mutu keseluruhan serta jangkaan impak sesuatu teks terhadap khalayak yang dijangkakan. Penyunting Substantif mempunyai kuasa atau menolak sesuatu teks atau memberikan cadangan pembaikan sekiranya sesuatu teks itu hendak diterbitkan.

Fungsi Penyunting Substantif di UniMAP dipikul oleh semua Ahli Panel Penyunting, Pegawai Penerbitan dan ahli-ahli sidang pengarang tertentu.

Penyunting Naskhah

Orang yang bertanggungjawab untuk mengawal mutu bahasa, keselarasan dan kesinambungan idea dan memastikan persembahan kandungan-kandungan lain menepati mutu yang ditetapkan oleh sebuah syarikat atau badan penerbitan seperti susunan bahan, gambarajah dan menepati format penerbitan yang ditetapkan

Fungsi Penyunting Naskhah di UniMAP dipikul oleh semua Pegawai Penerbitan atau ahli sidang pengarang.

Hak Penyunting  

Ketetapan asas yang ditentukan oleh sesebuah organisasi penerbitan untuk diberikan kepada penyunting sebagai upah, perkhidmatan serta penghormatan khas bagi penyempurnaan tugas dan keistimewaan prestasi yang dicapai.

Bab 5: Gaya Penulisan

Kaedah atau tatacara persembahan sesuatu teks atau manuskrip yang ditetapkan oleh sesebuah syarikat atau badan-badan penerbitan. Aspek-aspek tatacara ini adalah bentuk teks, pendekatan susunan kandungan sama ada teks bertulis atau teks bebentuk visual, saiz huruf atau fon, perletakan rujukan dalam teks, senarai rujukan dan aspek-aspek lain yang diambilkira dan diberi kepentingan oleh sesuatu organisasi penerbitan.   Pengamalan sesuatu format itu mungkin berbeza antara sesuatu organisasi dengan suatu organisasi penerbitan lain. Seseorang penulis untuk sesuatu organisasi penerbitan itu perlu patuh dengan sistem yang diamalkan oleh organisasi berkenaan dengan tujuan untuk memastikan persembahan yang konsisten dalam buku-buku yang diterbitkannya. 

Gaya dan format penulisan di UniMAP adalah berpandukan kepada manual yang dibangunkan.

Bab 6: Manuskrip

Naskhah asal yang ditulis oleh seseoarang penulis sama ada dalam bentuk tulisan tangan, bertaip secara manual atau berkomputer untuk dicetak dan diterbitkan dalam bentuk buku dan bentuk-bentuk lain.  Terdapat dua jenis manuskrip iaitu manuskrip yang dirancang (solicited) dan manuskrip yang tidak dirancang (unsolicited). Manuskrip yang tidak dirancang ialah manuskrip yang diterima daripada pengarang setelah ia menyiapkan karyanya. Manuskrip yang dirancang penerbitannya pula biasanya ditulis oleh Pengarang atas permintaan dan pengawasan editor. 

6.1          Format Manuskrip

Sesuatu bentuk persembahan penulisan teks yang ditetapkan oleh sesebuah organisasi penerbitan yang perlu dipatuhi oleh penulis. Format ini diperbaiki dari masa ke semasa mengikut keperluan

6.2          Penilaian Manuskrip

Suatu kaedah dan proses yang ditetapkan oleh sesebuah organisasi atau syarikat penerbitan untuk menilai kelayakan penerbitan sebuah manuskrip yang diserahkan oleh penulis. Sesebuah organisasi atau syarikat penerbitan mempunyai kaedah dan pendekatan tertentu untuk menilai kelayakkan sesebuah manuskrip. Penilai manuskrip selalunya terdiri daripada penyunting, penyunting susbtantif atau sesuatu panel penilai yang dilantik oleh sesebuah syarikat atau organisasi penerbitan. Sesebuah manuskrip hanya layak untuk diterbitkan setelah dinilai oleh penilai tersebut dan setelah diperbaiki semula oleh penulis berkenaan. 

 6.3          Proses Penilaian Manuskrip

Pendekatan yang digunakan oleh sesebuah organisasi atau syarikat penerbitan untuk melaksanakan sesuatu penerbitan. Melalui proses ini peringkat-peringkat kawalan mutu dipantau bagi memastikan proses akhir menepati piawaian yang ditetapkan.

Di UniMAP setiap proses tersebut diberi perhatian rapi.

Bab 7: Jenis Penerbitan

Jenis penerbitan dikenali juga sebagai genre dalam aktiviti penerbitan buku dan karya-karya sastera. Ia berfungsi sebagai cara mengkategorikan sesuatu penerbitan berdasarkan bentuk atau format serta kaedah dan gaya persembahan kandungan. Penjenisan ini perlu dilakukan bagi membantu pihak pengurusan penerbitan mencalonkan mana-mana buku yang diterbitkan di bahagian ini untuk bertanding dalam kategori-kategori yang ditetapkan oleh penganjur seperti Anugerah MAPIM dan Anugerah Buku Negara. Selain itu, penjenisan ini juga berfungsi untuk membantu penulis menyesuaikan keperluan kandungan dengan kemampuan penyediaan bahan yang ada. Selain itu penjenisan ini dapat membantu penilai luar untuk membuat penilaian yang saksama berdasarkan jenis buku yang dinilai.

7.1          Karya ilmiah

Hasil tulisan yang dipersembahkan dalam bentuk buku, jurnal, pasca sidang dan buku teks. Hasil penulisan ini mewakili bahan dalam bentuk ilmu pengetahuan yang terhasil sama ada melalui penyelidikan saintifik, hasil wacana, himpunan pemikiran dan perbincangan ilmiah mengenai apa jua bidang ilmu serta bahan-bahan atau panduan yang boleh membantu, memberi dan mengembangkan ilmu kepada khalayak. Di UniMAP Penerbit UniMAP memberi perhatian kepada semua aspek ilmiah yang dimaksudkan. Bagi membantu memudahkan atau melancarkan proses penulisan dan penilaian serta bagi memenuhi keperluan-keperluan semasa unimap maka genre penerbitan ilmiah dibahagikan kepada sub kategori, iaitu ilmiah premier, sekunder dan buku teks.

7.2          Ilmiah Premier

Hasil tulisan yang dibuat sama ada dalam bentuk buku, artikel untuk jurnal atau monograf yang berlandaskan penyelidikan saintifik yang meletakan asas teori dan kaedah perolehan data yang sistematik sebagai landasan mempersembahkan dapatan dan gagasan idea yang boleh mencetuskan pemikiran baru serta boleh meninggalkan impak ilmu dan dasar. Khalayak sasaran untuk penerbitan jenis ini adalah para ilmuan dan pemikir dalam sesuatu bidang ilmu, pelajar pasca siswazah dan tenaga pengajar di institut pengajian tinggi.

7.3          Ilmiah Sekunder

Penerbitan buku yang berasaskan persoalan-soalan ilmiah tetapi ditulis dan diterbitkan dalam bentuk wacana yang kurang atau tidak diasaskan kepada penerokaan saintifik atau penyelidikan. Contoh buku-buku jenis ini boleh dalam bentukbuku satu judul dengan penulis tunggal atau berbilang penulis dan boleh jugak dalam bentuk bab dalam buku dalam mana setiap bab ada judul dan ada penulisnya.

7.4           Buku Teks

Buku teks atau buku kursus adalah panduan mengenai arahan pembelajaran dan pengajaraan sesuatu disiplin pelajaran. Sesuatu buku teks diwujudkan untuk memenuhi keperluan bagi sesuatu bidang pengajian di institusi-institusi pengajian. Walaupun buku-buku teks ini bersifat pembelajaran dan pengajaran, namun nilai akademiknya perlu tinggi dan perlu menepati ruang lingkup pembelajaran. Berbeza dengan panduan makmal dan modul pembelajaran. Walaupun buku teks selalunya diterbitkan dalam format teks, pada masa ini buku-buku teks boleh diperolehi dalam bentuk buku elektronik. 

7.5           Buku Umum

Konsep umum merujuk kepada pengguna yang ditujukan oleh buku yang diterbitkan dibawah jenis buku ini.  . Pengguna jenis buku ini adalah pelbagai dari segala segi. Oleh itu pelbagai jenis buku diterbitkan bagi memenuhi kepeluan khalayak umum ini.  Buku umum ini boleh dalam pelbagai genre penulisan seperti sastera, politik, drama, filem, sejarah dan sebagainya. Buku-buku yang berkaitan dengan panduan-panduan yang berkaitan dengan sesuatu kemahiran juga termasuk dalam bentuk penulisan umum ini seperti buku-buku masakan, buku-buku mengenai panduan penullisan, buku biograafi mengenai seseorang dan sebagainya.

7.6          Biografi

Adalah penerbitan sesuatu karya mengenai seseorang yang ditulis oleh orang yang diceritakan atau ditulis oleh orang lain dengan menggunakan pelbagai cara penulisan. Penulisan bentuk ini menceritakan sejarah kehidupan seseorang, perasaan dan pengalaman orang yang menjadi subjek penulisan.

7.7          Memoir

Memoir ialah penulisan yang menceritakan secara dekat pengalaman, perasaan dan ingatan mengenai sesuatu kehidupan atau peristiwa yang dilalui oleh sesorang yang kadang kala menjadi suatu bukti atau penjelasan mengenai sesuatu kejadian yang dilalui. Memoir kerap ditulis oleh ahli-ahli politik dan pemimpin-pemimpin tentera

7.8          Buku Mewah

Buku mewah adalah sejenis hasil penerbitan khas yang mengandungi gambar-gambar dan teks yang dihasilkan khusus untuk memenuhi sesuatu keadaan.

7.9         Jurnal

Dalam dasar ini jurnal merujuk kepada penerbitan artikel-artikel dari pelbagai tajuk mengenai sesuatu bidang pengajian yang berasaskan pemikiran dan penerokaan saintifik. Komponen-komponen yang perlu ada dalam sesebuah jurnal ialah sejumlah artikel yang ditulis oleh para ilmuan berasaskan kajian-kajian saintifik, yang dipilih dan disunting oleh sekumpulan penyunting. Jumlah artikel dan kekerapan penerbitannya adalah bergantung kepada ketentuan yang dicatatkan dalam dasar penerbitan sesuatu jurnal itu. Sementara itu komponen dalam seseuatu artikel jurnal ini ialah judul, abstrak, ulasan pembacaan dan kajian terdahulu, kaedah penyelidikan, hasil penyelidikan dan penghujahan hasil kajian serta penutup.

7.10      Monograf

Monograf adalah suatu hasil kerja penulisan mengenai sesuatu subjek oleh seorang pengarang. Disebabkan karya dalam bentuk monograf ini selalunya berasaskan kepada sesuatu hasil penyelidikan yang selalunya melibatkan lebih seorang pengkaji, maka terdapat juga monograf ditulis oleh lebih seorang pengarang. Corak penulisan boleh dalam bentuk buku atau seperti sebuah artikel saintifik untuk jurnal.  Dari segi difinasinya juga ia adalah suatu dokumen tunggal dalam bentuk teks yang lengkap. Dalam banyak keadaan monograf adalah penghuraian lebih daripada apa yang diperlukan oleh sebuah artikel untuk jurnal dan tidak mempunyai bab. Ia dilengkapkan dengan abstrak, huraian teori dan ulasan kajian-kajian terdahulu, kaedah penyellidikan atau pengumpullan maklumat, hasil kajian, pemaparan penemuan dan penghujahan hasil kajian serta implikasinya terhadap bidang ilmu dan dasar. Di sebabkan hasil penulisan ini ada kalanya agak panjang, terdapat juga monograf yang ditulis dalam bentuk bab-bab, tetapi tidak lebih dari 3 bab. Dalam bidang sains dan kejuruteraan penerokaan kajian-kajian terdahulu adalahj komponen yang dilihat sangat penting yang perlu dimasukkan dimasukkan.

7.11      Penerbitan Khas

Penerbitan khas adalah usaha penerbitan dalam pelbagai bentuk yang diterbitkan atas kehendak atau keperluan bagai sesuatu masa. Penerbitan khas boleh dalam bentuk laporan tahunan, majalah dan bulein yang dihasilkan untuk memenuhi sesuatu keperluan.

7.12      Penerbitan Elektronik

Penerbitan elektronik adalah penerbitan sebarang bentuk bahan yang diterbitkan dan diedarkan secara elektronik. Sistem dan proses pengurusan kualiti penerbitan adalah sama kecuali menggunakan kaedah dan sistem elektronik.

Sistem pembayaran royalti ditetapkan dari masa ke semasa dan diluluskan oleh Jawatankuasa Penerbitan Universiti tertakluk kepada ketetapan dan syarat-syarat yang dikenakan oleh Pengurusan Universiti.

BAB 8: GARIS PANDUAN DAN PERATURAN KADAR BAYARAN

PEMBERIAN ROYALTI / HONORARIUM

Buku-buku yang diterbitkan akan diberikan royalti dengan kadar 10% hingga 15% daripada harga buku yang dibayar mengikut jumlah cetak. Semua bayaran Penyunting, Penterjemah dan pengarang buku dikecualikan daripada peraturan dan konsultansi Universiti. Kadar royalti yang diterima dikecualikan daripada cukai untuk jumlah yang ditetapkan.

Dalam penerbitan jurnal, para penyumbang tidak diberi sebarang honorarium atau royalti, kecuali off-print. Manakala bagi bentuk penerbitan lain, sejumlah honorarium yang kecil dibayar dibayar terutama untuk penyunting sesebuah karya (Volume Editor) atau Editor Umum yang melakukan kerja-kerja penyuntingan.

GANJARAN YANG DIBERIKAN KEPADA PENULIS, PENTERJEMAH, PENYUNTING TERJEMAHAN DAN LAIN-LAIN

Pada dasarnya buku-buku yang diterbitkan akan diberikan royalti dengan kadar 10% hingga 20% daripada harga buku dan dibayar mengikut jumlah buku terjual. Dalam penerbitan jurnal, para penyumbang tidak diberi sebarang honorarium atau royalti, kecuali off-print. Manakala, bagi bentuk penerbitan lain sejumlah honorarium yang kecil dibayar, terutama;

  1. Untuk penerbitan buku yang dihasilkan melalui J/k Penerbitan Universiti, Penulis amnya diberi royalti 10% hingga 15% daripada harga buku dan dibayar mengikut jumlah hasil jualan adalah seperti kadar berikut yang dibayar setahun sekali:  

a)      Buku Teks - 10%

b)      Buku Umum – 12%

c)      Buku Karya Asli – 15%  

  1. Kadar bayaran terjemahan ialah sepuluh (10) sen satu perkataan mengikut budi bicara J/k Penerbitan, berdasarkan kepada bilangan perkataan di dalam buku asal, sama ada buku itu dalam bidang sains atau sastera.
  2. 3.J/k Penerbitan Universiti akan membayar lima [5] sen untuk setiap perkataan yang disunting kepada sesiapa yang dilantik untuk membuat kerja penyuntingan.
  3. Karya yang dihasilkan oleh lebih daripada seorang, pembayaran dibahagikan kepada semua penulis dengan syer yang sama atau apa-apa persetujuan lain oleh penulis. Sekiranya sesuatu buku mengandungi satu koleksi esei yang dikumpulkan oleh seorang penyunting, pembahagian akan mengikut kadar 25:75, iaitu 25% adalah untuk penyunting manakala 75% dikongsi oleh semua penyumbang.

        5.  Pihak J/k Penerbitan Universiti juga memberi perkhidmatan urus setia untuk menaip hasil-hasil terjemahan ataupun penulisan buku Bahasa Melayu yang dijalankan oleh kakitangan akademik. Bantuan untuk             menaip manuskrip diberi hanya setelah terjemahan atau karya tersebut diluluskan oleh J/k Penerbitan Universiti. Untuk menjalankan kerja ini di luar waktu pejabat, seorang jurutaip akan dibayar kadar yang             berikut:

Bayaran RM1.00 untuk satu muka surat teks berukuran ‘A4’ ditaip dalam komputer dalam jarak ganda dua salinan.

Bayaran RM2.00 untuk satu muka surat yang mengandungi teks dan rajah-rajah tertentu atau jadual-jadual statistik mengikut budi bicara J/k Penerbitan.

atau

Jurutaip yang menjalankan kerja penaipan di luar waktu pejabat mestilah mendapat kebenaran Naib Canselor terlebih dahulu. J/k Penerbitan Universiti tidak akan membayar tuntutan yang tidak mendapat kebenaran. Pelantikan jurutaip boleh dilakukan terus oleh Penulis/Penterjemah sendiri.

  1. Penulis/Penterjemah bertanggungjawab menyediakan rajah untuk buku yang akan diterbitkan. Walau bagaimanapun, untuk penerbitan yang mempunyai lukisan seni bina, pelan, gambar foto dan sebagainya yang rumit, bantuan bayaran dengan had maksimum RM500.00 akan diberikan tertakluk kepada budi bicara Pengerusi J/k Penerbitan Universiti
  2. J/k Penerbitan Universiti juga membayar wang sebanyak RM 300-RM 700 (Maksimum) kepada penilai karya asli berdasarkan sistem berikut:

 a)      Ketebalan manuksrip 150 halaman ke bawah –  RM300

b)      Ketebalan 151-200 hlm – RM 400

c)      Ketebalan manuskrip lebih 200 halaman – RM 500

d)      Manuskrip buku khas seperti ensiklopedia dan buku prima – RM 700

8. Pengulas/Penilai karya untuk diterjemahkan adalah seperti berikut:

                                      i.          Setiap bab – RM100

                        ii.          Makalah – RM 50

  1. Semua bayaran kepada Penyunting, Penterjemah dan Penulis buku dikecualikan daripada peraturan-peraturan konsultansi Universiti.
  2. Naskhah Hadiah

Setiap judul yang diterbitkan diakui sebagai naskhah mengikut agihan berikut:

a)      6 naskhah      - Serahan bahan terbitan (perpustakaan/universiti/arkib) 

b)      4 naskhah      - Promosi (anugerah/pameran/naskhah contoh/ulasan buku)

c)      5 naskhah      - Penulis buku bukan bab dalam buku

d)      Naskhah        - Penulis Bab dalam buku berdasarkan jumlah penyunting di kulit buku

e)      Naskhah-naskhah hadiah

 

JADUAL KADAR BAYARAN GANJARAN KEPADA PENULIS, PENTERJEMAH, PENYUNTING TERJEMAHAN DAN LAIN-LAIN

No.

Jenis Bayaran

Kadar

1.

Royalti (buku karya asli, buku mewah, buku ilmiah popular)

10% hingga 20%

2.

Honorarium (Penilai, Penyunting, dan penyelenggara buku

RM 700 (maksimum) per manuskrip

3.

Upah Terjemahaan

RM 0.10 per perkataan

4.

Penyemakan Pruf

Untuk halaman bersaiz 5.5in x 7.5 in dan 6 in x 9 in

Untuk halaman bersaiz 7 in x 10 in atau lebih besar

 

RM 1.00

 

RM 1.70

5.

Upah penyediaan indeks

RM 0.10 per indeks

6.

Upah menaip untuk halaman teks sahaja

Halaman mengandungi teks, simbol, rumus, rajah dan jadual. 

RM 1.00 halaman

 

RM 2. 00 halaman 

7.

Penyuntingan

RM 0.05 per perkataan

8.

Bantuan Penyediaan ilustrasi

RM 500.00 (maksimum )

9.

Atur huruf

RM 8.00- RM 15.00 per halaman

10.

Penyuntingan naskhah

RM 0.03 per perkataan

11.

Perekaan kulit buku

RM 300.00-RM 500.00

12.

Bantuan Penulisan (Bergantung kepada keperluan dan pertimbangan pihak pengurusan. Bagaimanapun bantuan boleh juga dalam bentuk perkhidmatan dan kemudahan menulis)

RM 1000.00

 

BAB 9 DASAR PEMASARAN

Buku-buku terbitan Penerbit UniMAP akan diuruskan Seksyen Pemasaran dan Jualan melalui beberapa pengedar dan pembekal buku di seluruh Malaysia

Terdapat beberapa bentuk pemasaran dan promosi yang boleh digunakan untuk memasarkan buku-buku ilmiah universiti seperti pameran, naskah hadiah, naskah ulasan, dan pelancaran buku.

9.1   Pembelian Buku oleh Pengarang

Pihak Universiti turut menggalakkan pensyarah dan pengarang untuk turut sama memainkan peranan aktif dalam memasarkan karya sendiri. Penerbit UniMAP akan memberi diskaun sebanyak 30% bagi setiap buku yang dijual sendiri oleh Pengarang.

9.2   Pembelian individu atau khalayak pembaca. (pembelian secara terus)

Ini dilakukan melalui penjualan terus daripada Penerbit kepada pengguna. Cara yang boleh digunakan oleh Penerbit seperti jualan direct-mail, jualan melalui kedai-kedai Penerbit, jualan melalui sistem pemasaran Penerbit, kelab buku Penerbit dan sistem langganan yang dimiliki oleh Penerbit sendiri sama ada media cetak dan elektronik.

9.3   Pembelian institusi

Pembeli ini merupakan yang paling penting kepada sesebuah penerbit buku. Antaranya ialah perpustakaan, kedai koperasi institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta serta jabatan-jabatan di dalam dan diluar universiti mengikut tatacara berikut:

i)                 Pembelian terus – sistem pembelian buku yang menggunakan sebutharga atau pembelian terus dari penerbit

      ii)                Tender

 

9.4   Pelantikan Pengedar

Konsep pengedar buku ialah orang tengah antara Penerbit dengan peruncit. Pengedar dalam konteks dasar ini merujuk kepada pengedar dalam dan luar Negara. Pengedar akan membeli buku dari penerbit dengan potongan harga (biasanya 30% - 40%) dan menjualnya kepada kedai-kedai buku runcit (biasanya 15% - 25%). Penerbit UniMAP boleh membuat lantikan terus dan boleh memberikan pembelian secara kredit serta memberikan diskaun kepada Pengedar yang dilantik berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan iaitu;

a)      Pengedarkan perlu menandatangani perjanjian persetujuan menjadi panel pengedar buku-buku UniMAP.

b)      Kadar diskaun yang diberikan tidak lebih daripada 40% kecuali dalam keadaan tertentu perubahan boleh dibuat sekiranya memberi faedah kepada UniMAP

c)      Setiap pengedar layak mendapat jumlah atau nilai kerdit berdasarkan jumlah deposit yang diberikan kepada penerbit yang jumlah boleh ditetapkan oleh pengedar sendiri.

d)      Pembayaran jualan buku perlu dijelaskan dalam tempoh tiga bulan. Sekira gagal berbuat demikian wang deposit tidak akan dipulangkan semula.

e)      Pengedar boleh menarik diri pada bila-bila masa daripada menjadi pengedar buku UniMAP setelah menyelesaikan wang kredit dan deposit akan dipulangkan semula.

f)       Sebarang perubahan yang menyalahi perjanjian yang dipersetujui bersama antara pengedar asal dan UniMAP hendaklah dimaklumkan kepada Universiti Malaysia Perlis secara bertulis. Gagal berbuat                 demikian tindakan undang-undang akan dikenakan.

9.5 Jualan Melalui Kedai Buku

Kedai buku bermaksud ruang dan lokasi buku-buku terbitan UniMAP ada dijual. Terdapat dua jenis kedai buku iaitu kedai buku milik awam dan kedai buku milik Universiti Malaysia Perlis atau wakilnya. Kedai buku milik awam adalah peniaga yang menjual buku terus kepada orang ramai yang dianggap sebagai pengguna terakhir. Melalui kaedah ini Penerbit akan membuat potongan harga atau diskaun sebanya 20% hingga 35% daripada harga jualan kepada kedai-kedai buku yang terpilih. Bagaimanapun, hanya buku-buku tertentu yang dianggap mempunyai potensi jualan sahaja akan dipasarkan melalui kaedah ini. Sementara kedai buku milik UniMAP adalah kedai buku yang beroperasi dalam apa bentuk jua pun yang sesuai yang boleh menjual buku-buku terbitan UniMAP dan buku-buku lain yang sesuai bagi tujuan penjanaan kekayaan. Kaedah dan syarat serta peraturan pengurusan penjualan kedai buku UniMAP akan ditentukan mengikut keperluan semasa.

9.6   Penyertaan Pameran dan Pesta Buku

Pemasaran dan penjualan buku boleh dilakukan melalui penyertaan secara aktif dalam setiap pameran atau pesta buku seluruh Malaysia

9.7   Kaedah Jualan Secara (atas Talian) online

Jualan atas talian atau online boleh dilakukan dengan melantik atau menyertai rakan MAPIM lain yang mempunyai portal jualan secara atalian atau dibuat melalui laman sesawang https://www.unimappress.com.my 

10.   KESIMPULAN

Dasar ini adalah panduan rasmi yang berfungsi sebagai peraturan yang boleh diangkat sebagai suatu tatacara yang mempunyai implikasi undang-undang. Pindaan kepada dasar ini boleh dibuat dengan mendapat kelulusan daripada wakil Naib Canselor atau keadaan yang lebih serius ke peringkat pengurusan.