Pauh Putra, 17 Oktober 2025 – Program Telaah Buku sempena Festival of Ideas (FOI) peringkat Negeri Perlis telah berlangsung dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin.

Sesi telaah bersama YBhg. Datuk Zurinah Hassan, Sasterawan Negara, menjadi antara pengisian utama apabila beliau menelusuri keindahan karya terbitan terkini Penerbit UniMAP bertajuk Perlis: Pantun dan Panorama. Buku ini dihasilkan melalui gabungan penulisan beliau dengan fotografi oleh Encik Jasni Hashim, Ketua Jurutera Jabatan Pembangunan UniMAP, manakala susunannya disempurnakan oleh Puan Mazmim Mat Akhir, Ketua Pustakawan Tuanku Syed Faizuddin.

Program ini memperkukuh peranan Penerbit UniMAP dalam menerbitkan karya berkualiti yang mengangkat warisan, serta keindahan negeri Perlis melalui gabungan pantun dan visual panorama.