Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan pelancaran buku Perlis: Pantun dan Panorama di Dewan Bankuet Aras 4, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini. Turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda puteri baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail. Majlis ini juga dihadiri Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli.

Buku ini merupakan hasil nukilan Datuk Dr. Zurinah Hassan, Sasterawan Negara, bersama Encik Jasni Hashim, Ketua Jurutera Jabatan Pembangunan UniMAP selaku jurugambar. Susunan buku pula dihasilkan oleh Puan Mazmim Mat Akhir, Ketua Pustakawan Tuanku Syed Faizuddin. Buku yang diterbitkan oleh Penerbit UniMAP ini menampilkan himpunan pantun yang mengangkat keunikan budaya serta keindahan alam Perlis. Setiap pantun diserikan dengan gambar-gambar panorama memukau hasil sentuhan jurugambar, sambil menyampaikan nasihat dan pengajaran yang mendalam kepada pembaca.